Lilypie 1st Birthday Ticker

Tuesday, July 14, 2009

SESAT DALAM TERJEMAHAN?

Pelik sungguh! Idea sentiasa mencurah-curah tatkala kaki menjejak masuk ke bilik kecil di pejabat. Susah betul! Mulalah penumpuan kerja terbantut sana-sini. Bagaimanapun, ada persoalan yang ingin dikongsi dan perlu dimuntahkan segera dari benak agar saya dapat bekerja dengan aman: Pencemaran bahasa Melayu akibat pengangkatan keterlaluan bahasa Inggeris.

Jika tidak silap, tabiat ini menjadi marak apabila “seseorang” itu mula menggunakan perkataan-perkataan Inggeris versi Melayu dalam ucapan-ucapan beliau. Rata-rata yang mendengar pada masa itu pasti terkagum dengan kecanggihan pemilihan perkataan yang hebat tahap dewa. Tapi, betul-betul hebatkah? Atau ia sebenarnya menambah kepada pencemaran bahasa Melayu? Miskin sangatkah bahasa Melayu sehingga segala perkataan perlu dipinjam daripada bahasa Inggeris dan kemudian di-Melayukan?

Saya tidak menafikan keperluan untuk mengangkat sesetengah perkataan bahasa asing terutama bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu atas dasar keperluan bagi menaiktaraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Tidak ada salahnya, asalkan ia dilakukan mengikut lunas-lunas yang betul bagi memastikan keseragaman serta ketepatan penggunaannya. Tapi, pengangkatan ini kadangkala menjadi sedikit keterlaluan dan saya melihat wujudnya satu tabiat yang agak tidak menyenangkan; Kita mengambil jalan singkat ketika membuat terjemahan. Maka timbullah perkataan-perkataan seperti “submisi”, “translasi”, “injunksi” dan bermacam-macam “si” lagi (Ya! Contoh ini semua adalah dari kertas hujahan mahkamah). Apa yang ingin saya katakan di sini ialah selidik dahulu samada wujud perkataan Melayu yang mampu membawa makna yang sama sebelum mencedok perkataan Inggeris berkenaan. Contohnya “translasi”; kenapa tidak digunakan “terjemahan”? Dan “injunksi”; kenapa tidak digunakan “penghentian” atau “penghalangan”? Kebanyakan kita sanggup berhabisan untuk membeli “Oxford Concise English Dictionary” bagi memastikan keberkesanan bahasa Inggeris kita. Tapi berapa ramai yang sanggup berhabisan membeli kamus bahasa Melayu? Saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri dalam bidang kerja yang saya ceburi. Mungkin pengalaman anda berbeza.

Lazimnya, kerja penterjemahan dilakukan seperti “melepaskan batuk di tangga”. Rakan-rakan saya bangga memperkatakan tentang penguasaan bahasa Melayu mereka yang lemah. Ada kalanya, ia bagai satu pertandingan; bahasa Melayu siapa yang lebih teruk? Sedih tapi benar. Dan bertambah sedih lagi, saya juga sama berbangga kerana tidak arif (atau buat-buat tidak arif?) dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu memang saya anggap sebagai bahasa kelas kedua. Memang saya tidak sedar diri.

Lama kelamaan, timbul kegusaran di dalam diri ini. Adakah betul tindakan saya selama ini meminggirkan serta mengambil sikap acuh tak acuh apabila perlu menulis dalam bahasa Melayu? Apa salahnya berhempas-pulas memastikan bahasa Melayu saya juga menuju kesempurnaan (bukan sempurna, ya?)? Bukannya luak pun bahasa Inggeris saya kerana lebih sembilan puluh peratus masa saya di pejabat menggunakan bahasa Inggeris.

Perlu ditegaskan bahawa tulisan ini bukan bertujuan menidakkan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama global. Ia juga bukanlah satu petunjuk samada saya bersetuju atau tidak dengan dasar kerajaan berhubung isu PPSMI atau menjual idea agar kita memilih satu di antara dua. Yang ingin saya sampaikan melalui contoh di atas ialah kita perlu hebat dalam kedua-duanya; bahasa Melayu dan Inggeris. Bahasa Melayu kerana ia bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris kerana ia bahasa perantaraan utama dunia. Jika ada bahasa ketiga, keempat dan kelima…lagi bagus! Kita juga perlu hormat bahasa yang kita gunakan, tidak kira apa bahasa sekalipun.

No comments: